Riyadh subur dengan kelas pengajiannya di masjid-masjid. Limpahan alim ulama' yang menghuni bandaraya ini menjadikan kelas pengajian amat mudah didapati. Sambutan yang baik dan pengurusan masjid yang berdedikasi tinggi menjadikan kelas-kelas terus tumbuh dan bercambah.

Antara syeikh-syeikh yang telah lama bertapak dengan kelas pengajian masjidnya adalah Syeikh Soleh ibn Fauzan ibn Abdullah al Fauzan ( Prof. Dr ). Anggota kanan Jawatankuasa Ulama' Besar Saudi Arabia. Beliau adalah bekas Profesor Shariah di Imam Muhammad ibn saud Islamic University, dan Pengarah Ma'had al Qhada' di universiti yang sama. Beliau juga telah menerbitkan lebih 50 karya dalam pelbagai bidang agama.

Kelasnya di Masjid Amir Mut'ab ibn Abdul Aziz, Malaz. Pada malam Rabu yang lepas, kami sempat menghadiri kelas terakhir kitab Akhsar Mukhtasarat ( Fiqh Hanbali) karangan Imam Ibn Balban. Oleh kerana bacaan terakhir kitab tersebut sangat ringkas, Syeikh mengisi masa terluang untuk menyampaikan nasihat yang sangat berguna.

Beliau menjelaskan betapa beliau lebih cenderung untuk memilih kitab-kitab kecil ( matan-matan ) karya ulama' silam sebagai teks pengajiannya berbanding dengan sesetengah guru lebih suka membaca kitab-kitab besar. Katanya kitab-kitab kecil inilah intipati ilmu dan induknya. Menguasai kitab-kitab kecil ini bermakna pelajar telah memiliki anak-anak kunci penting membuka gedung ilmu.

Ilmu terletak pada jelasnya kefahaman bukan besarnya kitab. Beliau menceritakan tentang guru utamanya, Syeikh Abdul Razak Afifi, bekas Timbalan Mufti Am Saudi, pernah memberitahu bahawa beliau hanya bergantung sepenuhnya kepada muzakkirat ( nota-nota kuliah ) yang diberi oleh guru-guru beliau semasa menuntut di al Jami' al Azhar dulunya tanpa memiliki kitab-kitab besar pun.

Syeikh Fauzan juga mengkritik penerbitan buku-buku islam moden yang membawa judul-judul yang penuh kemegahan dan mempertikai tentang tahap kefahaman sesetengah pengarangnya tentang apa yang ditulis. Permasalahan umat islam hari ini bukan pada ketandusan buku atau bahan bacaan. Permasalahan sebenar mereka adalah pada ketandusan kefahaman dan penguasaan ilmu.

Kebetulan pula pameran buku antarabangsa Riyadh sedang berlangsung dan sambutan penduduk Riyadh pun amat memberansangkan. Maka terkasima juga para hadirin mendengar ulasan Syeikh malam itu.

Syeikh mempertegaskan soal manhaj ( pendekatan ) sebenar menimba ilmu. Ia mestilah bermula dengan asas-asas yang kukuh dan menyeluruh. Beliau memetik tafsiran ulama' tentang maksud ayat

وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
maksudnya : " Sebaliknya hendaklah kamu menjadi menjadi Rabbaniyyin dengan sebab kamu mengajarkan kitab dan dengan sebab kamu mempelajarinya " al Imran : 79

Rabbaniyyin ialah mereka yang mempelajari ilmu-ilmu kecil sebelum ilmu-ilmu besar. Rabbaniyyin diambil dari perkataan tarbiyah iaitu pendidikan. Pendidikan mestilah melalui proses kematangan sebagaimana sistem alam sejagat ciptaan Allah. Semuanya bermula dari objek kecil sebelum ianya membesar.

Maka mereka yang mempelajari atau membaca kitab-kitab besar tanpa melewati kitab-kitab kecil (matan-matan) sebenarnya memasuki lapangan ilmu bukan dari pintunya. Sebaliknya mereka telah membuat lompatan yang luar biasa atau lebih tepatnya meruntuhkan pagaran ilmu. Syeikh membaca ayat ini ;

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: " dan hendaklah kamu datangi rumah-rumah dari pintu-pintunya dan bertaqwalah kepada Allah semoga kamu mendapat kejayaan " al baqarah : 189

Maka para pelajar walaupun telah berusia dan lama belajar, tidak patut merasa malu membaca matan-matan kecil. Sang murabbi pula setinggi mana pun darjat kealimannya tidak perlu segan membuka matan-matan kecil ini.

Menggantikan kitab akhsarul Mukhtasarat ialah kitab Tajrid al Tawhid al Mufid karangan Imam al Maqrizi as Syafei. Ia juga sebuah matan kecil tidak sampai 40 muka surat pun pada sesetengah cetakan. Selain itu, syeikh juga sedang membaca kitab al Muntaqa ( hadith hukum ), Mukhtasar zadil Ma'aad ( hadyu nabawi ) dan Tafsir hizib mufassal.

Semoga Allah terus memberkati umur Syeikh dan menerima segala amal baiknya. Kepada kita sebagai muridnya, teruslah iltizamkan diri semoga dikurniakan keikhlasan dan kefahaman sebenar dariNya.

Kenali syeikh al fauzan lebih lanjut dan dapatkan maklumat mengenai tulisan, penerbitan dan rakaman pengajiannya di laman web rasmi syeikh:

http://www.alfawzan.ws/AlFawzan/Home/tabid/36/Default.aspx

One Response so far.

  1. http://www.tvchannelsfree.com/watch/4930/RTM-1-TV---Malaysia.html

    salam,,ni kome amikla buat hilangkan rasa panas kat riyadh..kalau tak tambah panas lagi:)

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...