KOTA TINGGI: Hanya kerana anak menangis, seorang wanita berusia 25 tahun hidup bagaikan tahanan perang kerana terpaksa menadah belakang dan punggung untuk dibelasah suaminya yang panas baran dengan tali pinggang tanpa henti selama 10 minit.

Suri rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zarimah berkata, kejadian hampir setiap hari itu, bagaikan satu kaedah hukuman dilaksanakan suaminya yang berusia 26 tahun, seorang penjual sayur di Kulai di sini dengan alasan mahu membentuknya menjadi isteri bertanggungjawab.

“Setiap kali naik angin, suami mencapai apa sahaja barang bersebelahannya termasuk tali pinggang, pasu bunga, botol susu anak atau kunci rumah untuk memukul saya.

“Bayangkan, jika anak menangis, saya terpaksa bersedia menerima hukumannya hingga mengakibatkan saya lebam dan alami kecederaan di punggung serta anggota badan lain,” katanya.

Menurut Zarimah, kejadian sama berulang sekiranya dia melakukan kesalahan kecil di rumah, termasuk lambat membancuh susu anak, mahu pun terlupa menyusun ikan dan sayur-sayuran dalam van yang digunakan suami.

Menurutnya, suasana itu menyebabkan dirinya seolah-olah menjalani kehidupan di neraka biarpun membina rumah tangga pada usia 17 tahun atas dasar suka sama dengan lelaki dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini.

“Demi menyelamatkan rumah tangga, saya membohongi keluarga yang sangsi apabila nampak kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan saya.“Saya kata ia akibat terjatuh di bilik air atau terbabit kemalangan ketika membuat kerja harian di rumah. “Malah, saya juga terpaksa merawat kecederaan sendiri. Suami tidak pernah memberi kebenaran untuk ke klinik mahupun hospital bagi mendapatkan rawatan kerana bimbang perbuatannya terbongkar,” katanya.

Ibu dua anak berusia tujuh dan dua tahun itu berkata, dia pernah melaporkan perbuatan suaminya sebanyak empat kali di Balai Polis Kota Tinggi dan Ulu Tiram termasuk pada 5 Ogos, 28 Oktober, 12 Mac lalu dan Ahad lalu.

Menurutnya, dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 12 Mac lalu akibat kecederaan teruk di punggung dan paha.

“Saya masih trauma dengan perbuatan suami menolak saya di pintu jeriji dan memaksa saya berhutang dengan keluarga nenek bagi membayar tunggakan ansuran kereta.

“Dia juga mengugut akan membunuh saya dan anak jika gagal mendapatkan wang itu.

“Saya terpaksa melarikan diri ke rumah jiran dan mengambil keputusan berpisah dengan suami demi masa depan anak,” katanya yang turut melaporkan masalah dialaminya pada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kenasebatsetiaphari/Article

Ulasan Ringkas;

* Isteri mempunyai hak untuk menuntut cerai (Fasakh) daripada Qadhi, jika kebahagian didalam rumah tangga hanyalah berbentuk siksaan dan penindasan. Sila lihat penjelasan Dr Maza seperti berikut; http://drmaza.com/home/?p=1076.

* Suami sewajibnya memahami batas-batas yang dibenarkan dalam mendidik isteri jika si isteri melakukan kesalahan. Adapun berhujjah menyatakan isteri wajib mentaatinya sedangkan arahan-arahannya adalah berbentuk kemaksiatan @ sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan maka ianya adalah satu kejahilan dan kezaliman.

* Suami dan Isteri wajar mengambil sikap tolak ansur dan bekerjasama dalam menunaikan tanggungjawap seharian. Buangkan rasa ego, mementingkan diri sendiri dan sikap suka memerintah. Semoga dengan itu hidup akan aman damai.

* Jangan lupa bahawa kewajipan suami dan isteri sebagai muslim wajib ditunaikan kerana ianya menjadi sebab kepada kebahagian hakiki di dunia dan akhirat.

* Jika dari awal pernikahan, isteri mendapati bahawa suami memang bermasalah, maka berbincang dengan ahli keluarga secara tertutup dan orang-orang yang dipercayai yang nasihatnya akan didengar oleh suami.

* Semoga Allah mengislahkan dan membantu mangsa-mangsa penindasan rumahtangga, menganugerahkan sifat rahmat dan mawaddah dalam hati suami dan isteri seterusnya mereka mendapat anak-anak soleh yang menjadi kebanggaan negara. Amin, Wallau A3lam.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...